Goda Suami Agar Kembali Mencintai  

Posted by nadine

Sharing is caring...

Rasanya tidak sah jika kehidupan berumahtangga yang dilalui tidak ditimpa badai atau gelora. Meskipun cuba untuk dielakkan, masalah pasti datang jua untuk menguji kesetiaan serta cinta yang terjalin.

Tidak dinafikan dugaan yang melanda sedikit sebanyak mampu mengurangkan rasa cinta yang bersemi di hati. Bagi kaum lelaki ini mungkin merupakan peluang untuk mereka mencari yang lain.

Jangan biarkan perkara tersebut berlaku dan sebagai wanita anda perlu bijak untuk menarik perhatian suami agar mereka selalu merasakan bahawa anda merupakan wanita terbaik serta serasi buat mereka.

Di sini dinyatakan beberapa kaedah yang boleh diaplikasikan oleh mereka yang bergelar isteri agar suami yang dicintai tidak mencari 'makan' diluar.

1. Berani mencuba

Hal ini selalu dikaitkan dengan hubungan seksual. Tidak dinafikan wanita sedikit pemalu untuk memulakan hubungan seksual walaupun bersama suami masing-masing. Kebiasaannya suami yang akan mendominasi dan wanita hanya akan menyerah sahaja.

Untuk mendapatkan kelainan apa kata sekali-sekala anda yang memulakannya dahulu. Berikan layanan terbaik serta kejutan kepada suami. Dengan layanan yang hangat serta lain daripada kebiasaan, sudah pasti suami anda tidak mampu untuk melupakan detik indah tersebut.

Sebaiknya sebagai isteri anda tidak perlu ada perasaan malu kerana anda halal di sisi suami anda.

2. Bijak menghias diri

Terdapat segelintir wanita yang hanya bijak menghias diri apabila mahu keluar bekerja atau menghadiri majlis-majlis tertentu. Sebaliknya jika di rumah bersama suami, penampilan diri selalu diabaikan.

Lebih teruk apabila suami pulang dari tempat kerja, isterinya masih belum mandi dan selesa dengan pakaian tidur yang belum berganti. Keadaan ini pastinya akan menimbulkan rasa tidak selesa suami.

Jalan terbaik, anda harus menjaga penampilan tidak kira di dalam atau di luar rumah. Anda harus ingat, semua lelaki lebih mudah tertarik dengan wanita yang bijak menghias diri dan penampilan. Jangan sampai suami anda jatuh hati dengan wanita di pejabatnya gara-gara penampilan buruk anda.

3. Kemas bilik tidur

Untuk menambat hati suami, pastikan bilik tidur anda sentiasa kemas, bersih dan berbau wangi. Ini kerana sebagai pasangan suami isteri, bilik tidur adalah tempat paling romantis dan privasi untuk anda berdua.

Di bilik tidur semua perkara boleh dibincangkan oleh pasangan dan bilik tidur yang selesa pastinya akan mendamaikan suami. Jadi apabila berdua-duaan bersama suami di bilik tidur, jalankan peranan anda dan rangsang suami agar terus jatuh cinta kepada anda.

Dengan rangsangan yang anda beri serta persekitaran yang bersih, suami anda pastinya tidak mampu untuk meninggalkan anda.

4. Bersikap aktif dan agresif

Ramai wanita yang tidak sedar bahawa golongan lelaki sebenarnya lebih suka kepada wanita yang berdikari, aktif dan agresif. Lelaki paling tidak suka dengan wanita yang pendiam dan hanya akan bersuara apabila ditanya.

Oleh sebab itu wanita perlu banyak membaca dan mengetahui banyak isu-isu semasa agar anda boleh berkomunikasi dengan suami anda dengan lebih baik.

Suami pastinya akan berasa bangga jika mempunyai isteri yang mampu memberikan pandangan serta pendapat tentang apa sahaja isu. Bukan seperti kebanyakan wanita yang lebih suka bergosip daripada membaca bahan bacaan yang banyak memberikan faedah.

5. Sentiasa sopan

Jangan sekali-kali menunjukkan sikap kasar kepada suami. Ini kerana ego seorang suami sangat tinggi dan mereka sentiasa mahu dihormati oleh seorang yang bergelar isteri.

Kalau boleh penuhi segala kehendaknya selagi ianya tidak bertentangan dengan ajaran agama. Sikap anda yang sentiasa bersoapan santun dan memenuhi keinginannya sudah pasti akan mengikat hatinya daripada beralih cinta kepada wanita lain.

Secara psikologinya, sikap anda itu juga secara tidak langsung mampu untuk mempengaruhi suami untuk kembali bercinta dengan anda.

6. Jangan menipu dan selalu bersikap terbuka

Tiada mana-mana lelaki yang suka ditipu oleh isteri masing-masing. Oleh sebab itu anda perlu bersikap terbuka dan jujur dalam menjalinkan hubungan sebagai pasangan suami isteri.

Sebagai isteri, jika anda tidak suka dengan perkara yang dilakukan oleh suami, jangan sekali-kali mendiamkan diri. Ini kerana itu tandanya anda bersetuju dengan tindakannya.

Sebaliknya cakaplah berterus-terang dan nyatakan rasionalnya mengapa anda tidak suka dia melakukannya. Sikap anda yang jujur, telus dan sentiasa memberikan teguran membina kepadanya akan menguatkan lagi cinta suami anda kepada anda.

7. Beri pujian

Tidak kira lelaki atau wanita, masing-masing akan berasa suka apabila menerima pujian. Oleh itu sebagai isteri, anda perlu selalu memuji suami agar dia berasa bangga dan dihargai.

Tapi awas, jangan sekali-kali memberikan pujian palsu kerana ia hanya akan memudaratkan perhubungan yang terjalin. Sebaliknya nyatakan kelemahannya dengan cara yang paling sopan dan berikan kata-kata semangat bahawa setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.

Semua ini akan membuatkan suami anda tampil lebih baik pada masa yang akan datang dan cintanya kepada anda juga akan kembali mekar mewangi.

This entry was posted on 9:49 AM . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments